Saturday, January 8, 2011

Nenek Limah, Balqis, Padi & Lalang :)


'nek, susahlah nak cabut lalang-lalang ini, dahlah banyak pula tu ," keluh  Balqis sambil mengelap peluh yang merenik di dahinya.

"Cu, itu yang kamu kata susah? orang zaman sekarang pantang buat kerja susah sikit , dah nak mengeluh. Banyakkanlah bersabar," bebel Nenek Limah dengan tangannya ligat mencabut lalang yang menyemak dihalaman rumahnya.

'ala, nek kenapa kita tak sembur racun sahaja, kan lebih senang. jimat masa, jimat tenaga . Qis tak fahamlah kenapa kita nak susah cabut lalang dan rumput semua ini ."

"Qis, memanglah sembur racun lebih senang daripada mencabut lalang , tetapi ia takkan kekal lama sebabnya sisa akar lalang masih lagi hidup, maknanya akan datang ia akan tumbuh lagi . Kalau kita cabut, akarnya akan tercabut sekali, jadi untuk jangka masa yang panjang ia tidak akan tumbuh lagi. Sekarang mana yang lebih bermanfaat ?

"yelah, Qis semuanya salah, " balas Qis sambil terus mencabut lalang yang memenuhi halaman rumah nenek itu.

"Qis, cuba pandang sawah depan rumah Nek, cantikkan ? "

"a'ah cantik, dulu masa Qis masih kanak-kanak Qis suka berlari-lari atas batas sawah."

"Dulu , masa arwah atuk hidup dulu, atuk pernah pesak pada Nek , supaya jadi macam padi. Padi yang berisi, makin tunduk, tetapi banyak memberi manfaat pada semua orang. Masaknya padi , membuahkan beras yang boleh dijadikan nasi untuk kita makan. Bukan seperti lalang, yang banyak dihalaman rumah ini, sangat menyemakkan dan menyerabutkan".

"Qis, tak fahamlah Nek, Qis sekarang dah tak pakai jalan biasa, pakai Highway , express sikit. "

"Amboi, cerita Adnan Sempit juga yang diingat pula budak ni. Qis sayang, hidup ini kita perlu lebih banyak memberi daripada menerima. Semakin banyak yang kita beri, semakin banyak yang kita terima. Belajar erti hidup pada memberi manfaat pada orang lain bukan dengan menerima. Nabi pesan, tangan yang memberi itu lebih mulia daripada tangan menerima. Cuba Qis aplikasikan memberi dalam hidup Qis. Qis beri sujud hanya pada yang Maha Esa, beri rasa cinta pada al-quran dan as-sunnah, beri rasa kasih pada keluarga dan sahabat serta anda sayang maka berilah manfaat kepada orang lain. Jangan berasa letih untuk memberi. Luaskan konsep memberi, jangan hadkan pada material, ia mungkin perkara paling mudah dalam hidup kita, seperti senyuman. Hidup ikutlah resmi padi yang makin tunduk makin berisi.Jadikan diri Qis  seperti lilin yang menerangi lilin-lilin yang lain dengan memberi cahaya kepada lilin lain bukan dengan cara menguranginya."

"Nek selalu buat Qis terharu.Qis sayang Nek, sayang sangat -sangat," dengan erat Qis memeluk Nenek Limah.

'hidup biarlah ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi bukan seperti lalang, makin banyak tetapi makin menyemakkan'




Sunday, January 2, 2011

Edisi Bedah Siasat :)

Kalau di NTV7 , popular dengan Edisi Siasat dan programnya berunsurkan seperti siasatan pelbagai isu antaranya seperti laman web lucah dan pornografi, isu buang baby, pil penguguran kandungan dan sebagainya.Isu-isu yang ditayangkan di layar sememangnya menarik dan saya berpendapat ia akan menyebabkan masyrakat semakin 'alert ' dengan isu-isu semasa.

itu cerita di NTV7

kalau di TV3 , namanya diubah sedikit kepada Aduan Rakyat, dan dihoskan oleh wartawan yang terkenal dengan peribahasanya iaitu Karam Singh Walia. Saya akui program Aduan Rakyat ini sebenarnya banyak menarik ramai pihak untuk menontonnya bahkan saya rasa rata-rata classmate saya ingat tagline Karam Singh Walia ' Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati tiada siapa yang tahu'.

Banyak perkara yang kita siasat dan kita cuba selongkar tetapi kita lupa walau kita hebat menyiasat macam Detektif Conan sekalipun, kalau kita gagal tangani akarnya, kita  takkan berhenti dari terus menyiasat.

awak tahu apa 'akar' yang saya maksudkan? jom dengar saya bercerita (^_^)

kalau pokok organ terpentingnya adalah akar. Kalau akar tidak berfungsi untuk menyerap air, maka pokok itu semakin layu dan akhirnya mati

begitu jua kita, organ yang penting sekali adalah hati. kalau hati bersih, inshAllah semuanya segalanya bersih , putih berseri mengalahkangigi iklan colgate. :p

fahamkan maksud saya? itulah yang dikatakan akar hati (^_^)

ini bertepatan dengan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a  : hati itu umpama raja sedangkan anggota badannya adalah tentera . Andai teruk tampuk pemerintahan raja itu maka teruklah anggota tenteranya.

apa kaitan dengan akar hati dan edisi bedah siasat yang sedang saya cuba coretkan kali ini?

Ya, banyak episod edisi siasat yang cuba digembar-gemburkan media massa, tetapi pada saya, kalau kita 'bedah siasat al-quran' semua masalah dan isu akan selesai.

kenapa ya?

sebab ramai antara kita pada hari ini, membaca al-quran, tetapi lupa untuk menghayati maksud dan memahami ayat-ayat yang penuh indah itu. 

sebab itu juga ramai yang membaca al-quran, tetapi hatinya masih tidak diselimuti ketenangan.

dahulu, sewaktu dikelas, saya teringat kata-kata Ustaz , 'kalau kita hendak berkomunikasi dengan Allah ialah melalui solat, kita bercerita dengannya dan Dia akan menjadi pendengar paling setia tanpa ter'miss' apa-apa pun, tetapi kalau nak Allah berkomunikasi dengan kita, bacalah al-quran. Allah banyak mengajar kita apa yang kita perlu buat, dan apa yang patut kita tinggalkan. Bak kata orang putih, the DO's and the Don'ts.

Bila al-quran itu as guidance in our life, inshAllah kita tak tersilap arah jalan. Andai tersesat sekalipun , kita akan refer balik pada al-quran :)

Jadi, episod bedah siasat yang saya sarankan, kita baca al-quran, kita fahami, kita hayati, cuba serapkan dalam jiwa dan amalkan dengan mulut,tangan,kaki dan sebagainya supaya anggota ini dapat menjadi saksi kita telah beribadah pada Allah di hari akhirat kelak.

saya nak tanya satu soalan bonus, siapa sayang umi dan abah masing-masing?

kalau kata  sayang, cuba hayati hadis ini:

'Barangsiapa membaca al-quran dan beramal dengan apa yang terkandung didalamnya maka kedua ibubapanya akan dipakaikan mahkota pada hari pengadilan dan sinarannya lebih terang daripada cahaya matahari sekiranya matahari itu berada dalam rumah-rumah kamu di dunia ini (HR- Abu Daud & Ahmad)'

Jom bedah siasat quran selalu (^_^) moga ibu bapa kita dipakaikan mahkota, kubur kita akan dilapangkan kelak dan tika di hari pengadilan , ia dapat menjadi syafaat untuk kita. Amin :)


Tolong operatekan saya ? Bedahlah saya , dan awak akan dapat ketenangan!
JAMIN!


Friday, December 31, 2010

Saya Si Penjual Tudung :D


Sejak akhir-akhir ini kita dapat melihat begitu  banyak lambakan jenis dan koleksi tudung yang dijual di pasaran dengan pelbagai warna dan corak, malahan kini dengan pelbagai style ada yang berbentuk pashmina, syria, ariani dan sebagainya.

Jenis tudung yang begitu banyak ini bukan hanya dijual secara direct seperti di butik atau di pasar bahkan secara meluasnya melalui online. Almaklumlah sekarang semuanya di hujung jari. Just tekan ‘click’ semuanya settel dan tudung akan dipos ke rumah anda.Senangkan ?

Tetapi saya pada hari ini , saya cuba membuat bisnes baru. Bisnes menjual tudung yang tak perlukan modal, tetapi hanyalah secebis kekuatan dan amal.

Tudung yang saya jual , lebih murah daripada yang terjual dipasaran, tetapi kalau dipakai oleh anda, InshAllah cantik seperti bidadari syurga.

Nak cuba tudung yang saya nak jual?

Dulu, saya ada terbaca, tudung ini dapat dibahagikan 4 jenis iaitu tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.”

Awak tahu apa maksudnya? Mari saya ceritakan (^_^)

“Tudung pada wajah, jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi.

Tudung pada mata, jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang.

Tudung pada suara, jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona.

Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”

Jom kita combinekan tudung-tudung ini dan membentuk formula.

Tudung pada wajah+ tudung pada mata + tudung pada suara + tudung pada hati = Wanita solehah.


‘ Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah’ ( HR-Muslim)

Fuhh, sebaik-baik perhiasan didunia ini adalah wanita solehah, maknanya dalam dunia ini yang paling cantik adalah wanita solehah. Tiada bandingan dengan yang lain. Awak nak jadi cantik? Tepuk dada jangan tanya selera , tapi tanya iman. (,”)

Dulu, pernah ada orang bisikan di telinga saya, kita sebagai perempuan , biarlah pemurah dengan senyuman, pemurah dengan harta tetapi janganlah kita menjadi ‘MURAH’.

Perempuan selalu dikaitkan dengan bunga mawar, dan saya pun suka dengan bunga mawar.

Jom jadi mawar yang cantik dipandang tetapi sukar disentuh kerana duri itu adalah imannya.

Saya tinggalkan anda dengan cebisan kata-kata, ‘ andai malu itu sebahagian daripada iman, maka hilang malu, hilanglah…’

Saya tahu , anda pandai, jadi anda tentu tahu  completekan ayat diatas.

Salam  tinta terakhir 2010. J



Monday, December 27, 2010

Kau Kata Kau....

Kau kata kau cinta pada Nya
tetapi kau lupa sujud pada Nya
kau lupa untuk bersyukur pada Nya
kau lupa untuk bertasbih pada Nya
siang malam kau langsung tiada untuk Nya
kau sibuk dengan duniawi lupa untuk ukhrawi
kaki kau amat berat untuk melangkah ke masjid
tetapi kaki kau mudah melangkah ke kelab, disko
dan syaitan bersorak gembira! oh pengikutku.!!
itukah kau katakan cinta pada- Nya?

kau kata kau rindu pada Rasullah s.a.w
tetapi kau lupa untuk ingat pada nya
kau buang jauh-jauh sunnahnya
kau lupa, Dia insan paling penyayang
sampai akhir hayatnya, kau tetap diingatannya
ummatku! ummatku! ummatku!
bahkan lidah kau lebih fasih menuturkan lagu -lagu bait cinta
dari kau basahi lidah kau dengan selawat pada nya
itukah  kau katakan rindu pada Rasullah ?

kau kata kau kasih pada bonda jua ayahanda,
tetapi kau lupa nak mendoakan kesejahteraan mereka
kau asyik kawan sana, kawan sini, belajar sana, belajar sini,
kau lupa, tanpa mereka siapalah kau pada hari ini
syurga kau dibawah keredaan mereka
bila mereka menidakkan keinginan kau,
kau jawab dengan kata nista
sedarkah kau , hati mereka pecah seperti kaca
mata mereka berkacakan air mata
ohh, itukah kau katakan sebagai kasih???

kau kata kau sayang padaku,
akulah sahabatmu,
janji setia termeterai, sahabat kita kerana- Nya
tapi kau biarkan aku hanyut dibuai mimpi indah
kau biarkan aku meliuk-liuk seperti lalang
kau biarkan aku berseorangan dijalanan gelap
sedangkan kau berada di jalan cerah
itukah ertinya sayang?

apa itu erti cinta?
apa itu erti rindu?
apa itu kasih?
apa itu erti sayang?

mudahnya kau melafazkan 
cinta , rindu, kasih, sayang
tetapi sukarnya kau memahami erti bait -bait itu
itulah manusia, 
mudah berjanji manis dengan kata-kata puitis
tetapi sukar untuk melakukannya

kalau kau kata cinta pada Nya
kenapa tidak kemudi hati menuju illahi

kalau kau kata rindu pada Rasullah s.a.w
kenapa tidak dilayarkan diri pada sunnahnya

kalau kau kata kau rindu pada bonda jua ayahanda
kenapa tidak kau basahi bibirmu dgn doa bukan dengan kata-kata nista

kalau kau kata sayang pada sahabatmu,
kenapa tidak kau pimpin tanganku, kita berjalan ke syurga Mu.



meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu
maafkanlah bila hati

tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu

*Rapuh by opick *

Wednesday, December 15, 2010

Inspirasi Si Kecil Bernama Semut.

Kita seringkali terdengar perumpamaan rajin seperti semut tetapi tahukah kita kenapa wujud perumpamaan sedemikian ? mungkinkah ada perumpamaan lain yang juga sesuai untuk semut?

semut , makhluk ilahi yang kecil, tetapi kecilnya seperti cili padi , pedas dan confirm berasap? kenapa ya?

kalau kita perhatikan semut, semut  akan selalu berusaha secara berulang-ulang dan terus menerus sehingga ia berjaya mencapai matlamat yang digengam.

analogi yang diberikan cukup mudah. Bayangkan kalau ada cebisan makanan di lantai, dan cebisan itu saiznya jauh lebih besar daripada si semut, tetapi pernahkah nampak semut tidak mengerumuni cebisan makanan itu? Tidak bukan? semut akan berusaha mengangkut cebisan makanan itu ke sarangnya, sedikit demi sedikit, sehinggalah habis.Andai dalam perjalanan mengangkut cebisan makanan itu terhalang, semut akan berusaha sedaya upaya dan memilih jalan yang lain mungkin ke kiri dan mungkin jua ke kanan sehinggalah matlamatnya untuk mengangkut cebisan makanan tersebut ke sarangnya.

kadang-kadang jalan yang dilalui si semut itu terhalang dek digenangi air , maka ia bersama kawan-kawannya saling berkerja sama membuat jambatan.Jika semut-semut yang lain sudah menyeberang,maka semut-semut yang membentuk jambatan akan merapat ke tepi. 

SubhanAllah, Indahnya ciptaan illahi :)

Hakikatnya, semut mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam mewujudkan tekadnya untuk meraih apa yang diinginkan , malahan ia tidak pernah kenal erti penat mahu pun lelah. 

Sebagai perkongsian cerita, pada suatu masa dahulu ada seorang arab badwi pergi merantau kerana sesuatu keperluan. Dia merasa sangat letih , penat dan berputus asa , maka ia terduduk dan berfikir untuk kembali lagi. Kemudian dia melihat seekor semut yang merangkak naik ke atas batu besar, namun semut tersebut jatuh dan semut itu terus merangkak  naik lagi ke atas batu besar itu berulang-ulang kali.Setelah mencuba, akhirnya semut itu berjaya menaiki batu besar itu . Melihatkan situasi tersebut, si arab badwi itu berkata ' saya sepatutnya bersabar dan berusaha keras lebih daripada semut tersebut' .  

Akhirnya si arab badwi itu meneruskan perjalanannya dan berjaya sampai ke tempat yang ditujunya dan dia berkata ' cari dan raih , jangan pernah berkeluh kesah dan bosan dari usaha meraih apa yang kamu inginkan. Kerana penyakit orang yang ingin mencari dan meraih sesuatu adalah bosan' .

Hebatkan si kecil bernama semut ?

Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan semut mengumpulkan makanannya dari musim panas sehinggalah ke musim sejuk. Oleh sebab semut tidak banyak keluar pada musim sejuk, maka makanan yang telah dikumpul hanya di makan apabila tiba musim sejuk ini. Cara bagi semut untuk memastikan makanan yang disimpan itu kekal elok, maka dengan kuasa illahi semut tersebut akan membelah ditengah biji bijian itu di tengah bagi memastikan makanan itu tahan lama.

Semut mempunyai sifat cekal dan kesabaran yang tinggi malahan kita wajar mengambil iktibar darinya. Malahan seandainya anda meletakkan sebuah batu ditengah-tengah jalan yang digunakan oleh kawanan semut, mereka tidak berundur sebaliknya mencari jalan lain dan berusaha sehingga matlamat itu tercapai.

Kalau dulu , saya hanya percaya perlu rajin seperti semut, tetapi kini saya percaya perlu gigih dan cekal seperti semut.

setujukah anda? salam penuh senyuman di 10 Muharam 1432H:)


semut yang gigih (^_^)


Thursday, December 9, 2010

Hari special : 10 Muharam

Salam 1432H. 

alhamdulilah sampai ke detik ini masih lagi diberi peluang untuk bernafas pada 4 Muharam.

Bagaimana hari-hari yang berlalu?adakah misi yang ingin dihijrahkan tercapai.???

Jom bercerita mengenai 10 muharam:)


Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang”. Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu”.
(Muslim)


Dari Aisyah r.a. katanya: “Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga”.
(Muslim)


Hari ‘Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah saw. telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari terseut kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping kelebihan bulan Muharram itu sendiri. 10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama sepertimana yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub ialah bahawa pada tarikh tersebut:



  • Terbunuhnya Saidina Hussain (cucu nabi) di karbala
  • Diterima taubat Nabi Adam a.s.
  • Diciptakan Nabi Adam a.s 
  • Diciptakan arasy, langit, bintang , matahari, dan bulan
  • Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s
  • Diselamatkan Nabi Ibrahim a.s. daripada api Namrud
  • Diselamatkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya serta dilemaskan firaun
  • Dilahirkan Nabi Isa a.s dan Nabi Isa a.s. diangkatkan ke langit
  • Diangkat Nabi Idris a.s ke langit
  • Mendaratnya Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy
  • Nabi Sulaiman diberi kerajaan besar
  • Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan nun
  • Nabi Yaa'kub dapat melihat kembali selepas buta
  • Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga
  • Disembuhkan Nabi Ayyub dari penyakitnya
  • Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi .



Banyakkan pristiwa pada 10 muharam ini? Kali ini , 10 Muharam jatuh pada hari Khamis, 16 Disember. Jom puasa sunat. Moga memperoleh pahala puasa sunat asyura dan sunat hari khamis. InshAllah (^_^)

Sunday, December 5, 2010

Sayonara 1431H. Welcome 1432H.

Apabila berkumandangnya azan pada senja nanti, maka melangkah kita ke tahun baru  iaitu 1432H.

Apa azam baru atau wishlist yang tersemat di hati dan hendak dihijrahkan?



Islam sendiri menganjurkan agar umatnya sentiasa berubah ke arah yang lebih baik, bukan sahaja dengan setiap anjakan tahun, bahkan dengan setiap anjakan hari. Berkata Sayyidina Ali, "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam

Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya:


“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya”. (HR-Bukhari)



Antara amalan sunat yang digalakkan dilakukan bagi seorang mukmin menjelang akhir tahun hijrah dan menjelma awal tahun hijrah ialah membaca doa.

Doa akhir tahun hijrah dibaca dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.


Doa Akhir Tahun

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…


Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.



Doa Awal Tahun Hijrah








 Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.


Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.




Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…




Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan,’Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan.’



Jom berhijrah! 
sesungguhnya manusia yang terbaik adalah senantiasa mengubah dirinya kearah lebih baik :) 

Monday, November 22, 2010

Dekatlah padaNya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Renungkan ayat ini :

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka(jawablah)  bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada Ku , agar mereka berada dalam kebenaran’ (2:186)

Tiga initpati penting berdasarkan ayat ini:

  • ->  Allah adalah dekat dengan kita.

Ya, Allah memang dekat dengan kita.

Apa buktinya?

Allah tidak pernah tinggalkan kita walau sedetik  sesaat pun.Tak pernah!

Kalau Allah tinggalkan kita sedetik tanpa diberi nafas, mesti kita telah lama tiada didunia fana ini.

Tetapi, sampai kedetik dan saat ini, kita masih bernafas bukan?

Dekatnya Allah dengan kita , lebih dekat daripada kapilari darah yang berselirat

Cuma kita yang semakin menjauh dariNya

Kita lupa kita hambaNya

Apakah cara yang kita lakukan hari ini untuk dekatkan diri kita pada pemilik nyawa kita?

  • -> Allah mengabulkan permintaan hambaNya yang memohon kepadaNya
 
Doa adalah ibu ibadah

‘Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diberikan. Ia dapat dikiaskan sebagai perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan’ (Imam Ghazali)

‘Mintalah kepada Allah kurniannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan dari hambaNya’ (HR Tirmidzi)

‘Berdoalah kepada Ku dan Aku akan perkenankan permintaanmu’ (al-mukmin:60)

Doa adalah segala-galanya. Kadangkala, akibat terlalu sibuk dengan duniawi, kita terlalu tergesa-gesa, kita lupa untuk berdoa dan memohon kepada Nya.

Kita lupa, hakikatnya kita adalah hamba yang lemah.Maka doa itu perlu. Doa itu senjata orang mukmin.

Namun begitu, kadang-kala kita berdoa akan tetapi Allah tidak pernah mengabulkannya. 

Kenapa?

Bersangka baiklah kita kepada Nya.

‘Jika Allah cepat mengabulkan doamu, itu tanda Dia sayang padamu. Jika Allah lambat makbulkan doamu, Dia sedang mengujimu. Akan tetapi jika Allah tidak mengabulkan doamu, itu bermakna Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu’

Ada pun sesuatu perkara itu mungkin buruk padamu, tetapi Allah Maha Mengetahui itu adalah yang terbaik untuk dirimu dan sebaliknya( al-baqarah:216)

  • -> Allah meletakkan syarat hendaklah kita memenuhi segala perintahNya dan beriman kepadaNya.
 
Allah adalah pemilik kita dan menjadi kewajipan kepada kita bersesuaian dengan rukun iman iaitu Beriman kepada Allah dan lafaz syahadah ‘Tiada Tuhan Yang di Sembah Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah’.
Melakukan perkara yang disuruhi dan meninggalkan apa yang dilarang adalah taqwa.

Jika ditanya apa itu taqwa, taqwa adalah umpama melalui jalan yang penuh berduri, dan kamu berhemat, serta berhati-hati supaya tidak memijak duri-duri itu.

Duri-duri itu adalah larangan dan dosa-dosa yang perlu dihindarkan dan kita haruslah berhati-hati supaya tidak terjebak ke lembah larangan- Nya



Suatu perkongsian cerita, Ibrahim bin Adham, seorang ahli ulama pernah pada suatu masa berada di Kota Basrah. Beliau ditanya berkenaan punca dan sebab doa tidak dimakbulkan. Beliau berkata:

  • 1.       Kamu mengenal Allah, tetapi Kamu tidak menunaikan hak-Nya
  • 2.       Kamu mengatakan bahawa kamu mencintai Rasullah, tetapi kamu tidak mengikut sunnahnya
  • 3.       Kamu membaca quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya
  • 4.       Kamu menerima nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya
  • 5.       Kamu menyatakan syaitan itu adalah musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya
  • 6.       Kamu berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak berusaha  untuk memasukinya
  • 7.       Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak berusaha melarikan diri darinya
  • 8.       Kamu mengatakan mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya
  • 9.       Kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan keaiban orang lain, sedangkan kamu lupa         keaiban kamu sendiri
  • 10.    Kamu mengebumikan mayat, tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.


Allah itu tidak pernah menjauh dari kita  dan janganlah ada antara kita menjauhkan diri dariNya.


Semoga kita terus diberikan kekuatan untuk mendekatiNya melalui amal ibadah kita. Ameen.