Showing posts with label ubat hati ingat hati. Show all posts
Showing posts with label ubat hati ingat hati. Show all posts

Friday, December 31, 2010

Saya Si Penjual Tudung :D


Sejak akhir-akhir ini kita dapat melihat begitu  banyak lambakan jenis dan koleksi tudung yang dijual di pasaran dengan pelbagai warna dan corak, malahan kini dengan pelbagai style ada yang berbentuk pashmina, syria, ariani dan sebagainya.

Jenis tudung yang begitu banyak ini bukan hanya dijual secara direct seperti di butik atau di pasar bahkan secara meluasnya melalui online. Almaklumlah sekarang semuanya di hujung jari. Just tekan ‘click’ semuanya settel dan tudung akan dipos ke rumah anda.Senangkan ?

Tetapi saya pada hari ini , saya cuba membuat bisnes baru. Bisnes menjual tudung yang tak perlukan modal, tetapi hanyalah secebis kekuatan dan amal.

Tudung yang saya jual , lebih murah daripada yang terjual dipasaran, tetapi kalau dipakai oleh anda, InshAllah cantik seperti bidadari syurga.

Nak cuba tudung yang saya nak jual?

Dulu, saya ada terbaca, tudung ini dapat dibahagikan 4 jenis iaitu tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.”

Awak tahu apa maksudnya? Mari saya ceritakan (^_^)

“Tudung pada wajah, jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi.

Tudung pada mata, jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang.

Tudung pada suara, jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona.

Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…”

Jom kita combinekan tudung-tudung ini dan membentuk formula.

Tudung pada wajah+ tudung pada mata + tudung pada suara + tudung pada hati = Wanita solehah.


‘ Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah’ ( HR-Muslim)

Fuhh, sebaik-baik perhiasan didunia ini adalah wanita solehah, maknanya dalam dunia ini yang paling cantik adalah wanita solehah. Tiada bandingan dengan yang lain. Awak nak jadi cantik? Tepuk dada jangan tanya selera , tapi tanya iman. (,”)

Dulu, pernah ada orang bisikan di telinga saya, kita sebagai perempuan , biarlah pemurah dengan senyuman, pemurah dengan harta tetapi janganlah kita menjadi ‘MURAH’.

Perempuan selalu dikaitkan dengan bunga mawar, dan saya pun suka dengan bunga mawar.

Jom jadi mawar yang cantik dipandang tetapi sukar disentuh kerana duri itu adalah imannya.

Saya tinggalkan anda dengan cebisan kata-kata, ‘ andai malu itu sebahagian daripada iman, maka hilang malu, hilanglah…’

Saya tahu , anda pandai, jadi anda tentu tahu  completekan ayat diatas.

Salam  tinta terakhir 2010. J



Thursday, December 9, 2010

Hari special : 10 Muharam

Salam 1432H. 

alhamdulilah sampai ke detik ini masih lagi diberi peluang untuk bernafas pada 4 Muharam.

Bagaimana hari-hari yang berlalu?adakah misi yang ingin dihijrahkan tercapai.???

Jom bercerita mengenai 10 muharam:)


Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang”. Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, “Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu”.
(Muslim)


Dari Aisyah r.a. katanya: “Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga”.
(Muslim)


Hari ‘Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah saw. telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari terseut kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping kelebihan bulan Muharram itu sendiri. 10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama sepertimana yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub ialah bahawa pada tarikh tersebut:



  • Terbunuhnya Saidina Hussain (cucu nabi) di karbala
  • Diterima taubat Nabi Adam a.s.
  • Diciptakan Nabi Adam a.s 
  • Diciptakan arasy, langit, bintang , matahari, dan bulan
  • Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s
  • Diselamatkan Nabi Ibrahim a.s. daripada api Namrud
  • Diselamatkan Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya serta dilemaskan firaun
  • Dilahirkan Nabi Isa a.s dan Nabi Isa a.s. diangkatkan ke langit
  • Diangkat Nabi Idris a.s ke langit
  • Mendaratnya Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy
  • Nabi Sulaiman diberi kerajaan besar
  • Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan nun
  • Nabi Yaa'kub dapat melihat kembali selepas buta
  • Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga
  • Disembuhkan Nabi Ayyub dari penyakitnya
  • Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi .



Banyakkan pristiwa pada 10 muharam ini? Kali ini , 10 Muharam jatuh pada hari Khamis, 16 Disember. Jom puasa sunat. Moga memperoleh pahala puasa sunat asyura dan sunat hari khamis. InshAllah (^_^)

Sunday, December 5, 2010

Sayonara 1431H. Welcome 1432H.

Apabila berkumandangnya azan pada senja nanti, maka melangkah kita ke tahun baru  iaitu 1432H.

Apa azam baru atau wishlist yang tersemat di hati dan hendak dihijrahkan?



Islam sendiri menganjurkan agar umatnya sentiasa berubah ke arah yang lebih baik, bukan sahaja dengan setiap anjakan tahun, bahkan dengan setiap anjakan hari. Berkata Sayyidina Ali, "Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam

Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya:


“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya”. (HR-Bukhari)



Antara amalan sunat yang digalakkan dilakukan bagi seorang mukmin menjelang akhir tahun hijrah dan menjelma awal tahun hijrah ialah membaca doa.

Doa akhir tahun hijrah dibaca dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.


Doa Akhir Tahun

Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.

Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram.

Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…


Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.



Doa Awal Tahun Hijrah








 Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.


Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu.




Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…




Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan,’Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan.’



Jom berhijrah! 
sesungguhnya manusia yang terbaik adalah senantiasa mengubah dirinya kearah lebih baik :) 

Monday, November 22, 2010

Dekatlah padaNya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Renungkan ayat ini :

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka(jawablah)  bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada Ku , agar mereka berada dalam kebenaran’ (2:186)

Tiga initpati penting berdasarkan ayat ini:

  • ->  Allah adalah dekat dengan kita.

Ya, Allah memang dekat dengan kita.

Apa buktinya?

Allah tidak pernah tinggalkan kita walau sedetik  sesaat pun.Tak pernah!

Kalau Allah tinggalkan kita sedetik tanpa diberi nafas, mesti kita telah lama tiada didunia fana ini.

Tetapi, sampai kedetik dan saat ini, kita masih bernafas bukan?

Dekatnya Allah dengan kita , lebih dekat daripada kapilari darah yang berselirat

Cuma kita yang semakin menjauh dariNya

Kita lupa kita hambaNya

Apakah cara yang kita lakukan hari ini untuk dekatkan diri kita pada pemilik nyawa kita?

  • -> Allah mengabulkan permintaan hambaNya yang memohon kepadaNya
 
Doa adalah ibu ibadah

‘Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diberikan. Ia dapat dikiaskan sebagai perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan’ (Imam Ghazali)

‘Mintalah kepada Allah kurniannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan dari hambaNya’ (HR Tirmidzi)

‘Berdoalah kepada Ku dan Aku akan perkenankan permintaanmu’ (al-mukmin:60)

Doa adalah segala-galanya. Kadangkala, akibat terlalu sibuk dengan duniawi, kita terlalu tergesa-gesa, kita lupa untuk berdoa dan memohon kepada Nya.

Kita lupa, hakikatnya kita adalah hamba yang lemah.Maka doa itu perlu. Doa itu senjata orang mukmin.

Namun begitu, kadang-kala kita berdoa akan tetapi Allah tidak pernah mengabulkannya. 

Kenapa?

Bersangka baiklah kita kepada Nya.

‘Jika Allah cepat mengabulkan doamu, itu tanda Dia sayang padamu. Jika Allah lambat makbulkan doamu, Dia sedang mengujimu. Akan tetapi jika Allah tidak mengabulkan doamu, itu bermakna Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu’

Ada pun sesuatu perkara itu mungkin buruk padamu, tetapi Allah Maha Mengetahui itu adalah yang terbaik untuk dirimu dan sebaliknya( al-baqarah:216)

  • -> Allah meletakkan syarat hendaklah kita memenuhi segala perintahNya dan beriman kepadaNya.
 
Allah adalah pemilik kita dan menjadi kewajipan kepada kita bersesuaian dengan rukun iman iaitu Beriman kepada Allah dan lafaz syahadah ‘Tiada Tuhan Yang di Sembah Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah’.
Melakukan perkara yang disuruhi dan meninggalkan apa yang dilarang adalah taqwa.

Jika ditanya apa itu taqwa, taqwa adalah umpama melalui jalan yang penuh berduri, dan kamu berhemat, serta berhati-hati supaya tidak memijak duri-duri itu.

Duri-duri itu adalah larangan dan dosa-dosa yang perlu dihindarkan dan kita haruslah berhati-hati supaya tidak terjebak ke lembah larangan- Nya



Suatu perkongsian cerita, Ibrahim bin Adham, seorang ahli ulama pernah pada suatu masa berada di Kota Basrah. Beliau ditanya berkenaan punca dan sebab doa tidak dimakbulkan. Beliau berkata:

  • 1.       Kamu mengenal Allah, tetapi Kamu tidak menunaikan hak-Nya
  • 2.       Kamu mengatakan bahawa kamu mencintai Rasullah, tetapi kamu tidak mengikut sunnahnya
  • 3.       Kamu membaca quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya
  • 4.       Kamu menerima nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya
  • 5.       Kamu menyatakan syaitan itu adalah musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya
  • 6.       Kamu berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak berusaha  untuk memasukinya
  • 7.       Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak berusaha melarikan diri darinya
  • 8.       Kamu mengatakan mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya
  • 9.       Kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan keaiban orang lain, sedangkan kamu lupa         keaiban kamu sendiri
  • 10.    Kamu mengebumikan mayat, tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.


Allah itu tidak pernah menjauh dari kita  dan janganlah ada antara kita menjauhkan diri dariNya.


Semoga kita terus diberikan kekuatan untuk mendekatiNya melalui amal ibadah kita. Ameen.



Friday, November 19, 2010

Alhamdulilah. Erti syukur.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang.

Alhamdulilah, kita masih diberi peluang untuk bernafas pada hari ini untuk kita terus menjalankan tugas sebagai hamba- Nya di muka bumi ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Andainya semalam, kurangnya waktu disediakan untuk sujud pada-Nya , hari ini biarlah makin bertambah waktu untuk terus sujud pada-Nya. Semoga kita menjadi hamba yang senantiasa bersyukur dan tegar untuk sujud pada-Nya.

Dialog mainan hati

‘hari ini aku hanya dapat RM500 untuk hasil jualan aku. Haish,Tuhan tak pernah nak bagi aku dapat rezeki lebih sedangkan si Husin tu berniaga sekejap sahaja dah dapat untung banyak,”

“ aku tak faham kenapa si Katty, lagi cantik dari aku, sampaikan wartawan pun buat-buat tak nampak akan kehadiran aku. Esok aku mesti cucuk sana –sini. Aku mesti cantik dari Katty.”

Dialog-dialog yang selalu memenuhi segenap fikiran kita dan sudah menjadi lumrah manusia, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang sedia ada.

Kadang-kadang lupa , yang mana adalah kehendak atau keperluan. Apabila memiliki sesuatu itu, tidak pernah rasa terdetik walau sekelumit dihati untuk mengucapkan atau mengungkapkan rasa syukur pada Nya.

Begitu mudah sekali bibir kita melontarkan keluhan demi keluhan. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita dalam kesenangan. Kita lupa  bahawa ada insan yang lebih malang lagi dari kita.

Di tatkala kita ditimbun dengan makanan yang banyak, pernahkah kita terfikir bagaimana anak-anak palestin yang kelaparan?

Ditatkala kita punyai wang berbelanja, pernahkah kita terfikir kehidupan insan yang papa kedana?

Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih lautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman : "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (16: 18).

“ jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu menghinggakannya”( 14: 34)

‘‘kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air mani yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan ke dalam tubuhnya (roh) ciptaanNya dan Dia menjadikannya bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati tetapi sedikit sekali kamu  bersyukur ‘‘ (32: 8-9)

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya:

"Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit" Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"

Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku  takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur"

Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah" jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"

 Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin.

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)

Ingat nikmat yang dikurniakan, Ingat Pemberi Nikmat yang Maha Pemurah mengurniakan segala nikmat kepada kita.