Monday, November 22, 2010

Dekatlah padaNya

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Renungkan ayat ini :

“Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka(jawablah)  bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada Ku , agar mereka berada dalam kebenaran’ (2:186)

Tiga initpati penting berdasarkan ayat ini:

  • ->  Allah adalah dekat dengan kita.

Ya, Allah memang dekat dengan kita.

Apa buktinya?

Allah tidak pernah tinggalkan kita walau sedetik  sesaat pun.Tak pernah!

Kalau Allah tinggalkan kita sedetik tanpa diberi nafas, mesti kita telah lama tiada didunia fana ini.

Tetapi, sampai kedetik dan saat ini, kita masih bernafas bukan?

Dekatnya Allah dengan kita , lebih dekat daripada kapilari darah yang berselirat

Cuma kita yang semakin menjauh dariNya

Kita lupa kita hambaNya

Apakah cara yang kita lakukan hari ini untuk dekatkan diri kita pada pemilik nyawa kita?

  • -> Allah mengabulkan permintaan hambaNya yang memohon kepadaNya
 
Doa adalah ibu ibadah

‘Doa menjadi sebab bala dijauhkan dan rahmat diberikan. Ia dapat dikiaskan sebagai perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan’ (Imam Ghazali)

‘Mintalah kepada Allah kurniannya. Sesungguhnya Allah menyukai permohonan dari hambaNya’ (HR Tirmidzi)

‘Berdoalah kepada Ku dan Aku akan perkenankan permintaanmu’ (al-mukmin:60)

Doa adalah segala-galanya. Kadangkala, akibat terlalu sibuk dengan duniawi, kita terlalu tergesa-gesa, kita lupa untuk berdoa dan memohon kepada Nya.

Kita lupa, hakikatnya kita adalah hamba yang lemah.Maka doa itu perlu. Doa itu senjata orang mukmin.

Namun begitu, kadang-kala kita berdoa akan tetapi Allah tidak pernah mengabulkannya. 

Kenapa?

Bersangka baiklah kita kepada Nya.

‘Jika Allah cepat mengabulkan doamu, itu tanda Dia sayang padamu. Jika Allah lambat makbulkan doamu, Dia sedang mengujimu. Akan tetapi jika Allah tidak mengabulkan doamu, itu bermakna Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu’

Ada pun sesuatu perkara itu mungkin buruk padamu, tetapi Allah Maha Mengetahui itu adalah yang terbaik untuk dirimu dan sebaliknya( al-baqarah:216)

  • -> Allah meletakkan syarat hendaklah kita memenuhi segala perintahNya dan beriman kepadaNya.
 
Allah adalah pemilik kita dan menjadi kewajipan kepada kita bersesuaian dengan rukun iman iaitu Beriman kepada Allah dan lafaz syahadah ‘Tiada Tuhan Yang di Sembah Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh Allah’.
Melakukan perkara yang disuruhi dan meninggalkan apa yang dilarang adalah taqwa.

Jika ditanya apa itu taqwa, taqwa adalah umpama melalui jalan yang penuh berduri, dan kamu berhemat, serta berhati-hati supaya tidak memijak duri-duri itu.

Duri-duri itu adalah larangan dan dosa-dosa yang perlu dihindarkan dan kita haruslah berhati-hati supaya tidak terjebak ke lembah larangan- Nya



Suatu perkongsian cerita, Ibrahim bin Adham, seorang ahli ulama pernah pada suatu masa berada di Kota Basrah. Beliau ditanya berkenaan punca dan sebab doa tidak dimakbulkan. Beliau berkata:

  • 1.       Kamu mengenal Allah, tetapi Kamu tidak menunaikan hak-Nya
  • 2.       Kamu mengatakan bahawa kamu mencintai Rasullah, tetapi kamu tidak mengikut sunnahnya
  • 3.       Kamu membaca quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya
  • 4.       Kamu menerima nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya
  • 5.       Kamu menyatakan syaitan itu adalah musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya
  • 6.       Kamu berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak berusaha  untuk memasukinya
  • 7.       Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak berusaha melarikan diri darinya
  • 8.       Kamu mengatakan mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya
  • 9.       Kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan keaiban orang lain, sedangkan kamu lupa         keaiban kamu sendiri
  • 10.    Kamu mengebumikan mayat, tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.


Allah itu tidak pernah menjauh dari kita  dan janganlah ada antara kita menjauhkan diri dariNya.


Semoga kita terus diberikan kekuatan untuk mendekatiNya melalui amal ibadah kita. Ameen.



Friday, November 19, 2010

Alhamdulilah. Erti syukur.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang.

Alhamdulilah, kita masih diberi peluang untuk bernafas pada hari ini untuk kita terus menjalankan tugas sebagai hamba- Nya di muka bumi ini. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Andainya semalam, kurangnya waktu disediakan untuk sujud pada-Nya , hari ini biarlah makin bertambah waktu untuk terus sujud pada-Nya. Semoga kita menjadi hamba yang senantiasa bersyukur dan tegar untuk sujud pada-Nya.

Dialog mainan hati

‘hari ini aku hanya dapat RM500 untuk hasil jualan aku. Haish,Tuhan tak pernah nak bagi aku dapat rezeki lebih sedangkan si Husin tu berniaga sekejap sahaja dah dapat untung banyak,”

“ aku tak faham kenapa si Katty, lagi cantik dari aku, sampaikan wartawan pun buat-buat tak nampak akan kehadiran aku. Esok aku mesti cucuk sana –sini. Aku mesti cantik dari Katty.”

Dialog-dialog yang selalu memenuhi segenap fikiran kita dan sudah menjadi lumrah manusia, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang sedia ada.

Kadang-kadang lupa , yang mana adalah kehendak atau keperluan. Apabila memiliki sesuatu itu, tidak pernah rasa terdetik walau sekelumit dihati untuk mengucapkan atau mengungkapkan rasa syukur pada Nya.

Begitu mudah sekali bibir kita melontarkan keluhan demi keluhan. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita dalam kesenangan. Kita lupa  bahawa ada insan yang lebih malang lagi dari kita.

Di tatkala kita ditimbun dengan makanan yang banyak, pernahkah kita terfikir bagaimana anak-anak palestin yang kelaparan?

Ditatkala kita punyai wang berbelanja, pernahkah kita terfikir kehidupan insan yang papa kedana?

Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih lautan dibiarkan.

Allah s.w.t berfirman : "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (16: 18).

“ jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu menghinggakannya”( 14: 34)

‘‘kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air mani yang hina. Kemudian Dia menyempurnakan ke dalam tubuhnya (roh) ciptaanNya dan Dia menjadikannya bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati tetapi sedikit sekali kamu  bersyukur ‘‘ (32: 8-9)

Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya:

"Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit" Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?"

Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku  takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur"

Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah" jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"

 Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin.

Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)

Ingat nikmat yang dikurniakan, Ingat Pemberi Nikmat yang Maha Pemurah mengurniakan segala nikmat kepada kita.